Skip to main content
Yuppie (Young Professional) and the Everlasting Forbidden Credits!

click here

Hidup melebihi kemampuan

Oleh RUSINAH SIRON

SECARA rasionalnya, perspektif permikiran kita dalam melihat sikap golongan muda yang suka berbelanja dan bergaya lagak yang di luar kemampuan mereka ini bukanlah sesuatu yang baru dan menghairankan kerana ia seolah-olah sudah menjadi gaya hidup yang diterima oleh golongan muda khususnya dan masyarakat Malaysia amnya yang memang suka berhutang dan memberi hutang dengan mempunyai pelbagai maksud dan tujuan hidup.

Penulis ambil satu contoh mudah dengan melihat senario graduan yang telah tamat belajar dari universiti atau kolej. Dengan usaha, pengetahuan dan tuah badan, kita andaikan graduan yang telah tamat belajar tersebut terus diterima bekerja dengan purata gaji RM2,000 (contoh ini tidak termasuk bagi graduan yang kurang bernasib baik yang mendapat gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka capai iaitu RM800 - RM1,000).

Dengan gaji RM2,000, maka bermulalah kerjaya graduan tersebut sebagai eksekutif muda yang bekerja di bandar atau di kawasan pinggir bandar di mana mereka ditempatkan. Dengan semangat yang berkobar-kobar berserta dengan iringan doa dan kata-kata rangsangan ibu bapa, maka bekerjalah eksekutif muda tersebut dengan azam untuk membangunkan diri ke arah masa depan yang gemilang dan membantu ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban untuknya.

Tetapi setelah mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan yang positif dan negatif telah banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan tersebut telah menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak dalam keluarga iaitu hutang.

Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya hidup dikelilingi hutang?

Mengapa

Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan spesifik dan telus, mengapa eksekutif muda ini berhutang:

* Gaji bulanan, RM2,000

* Sewa rumah bilik, RM200 (berkongsi rumah dengan rakan).

* Ansuran kereta, RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal harga keretanya, mahallah ansuran bulanannya).

* Duit minyak dan tol, RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain).

* Makan dan minum RM500 (hanya tanggung makan sendiri dan tidak termasuk belanja rakan dan teman wanita atau belanja keluarga, kebiasaannya jarang belanja keluarga kerana belanja diri sendiripun terlepas.

* Sosial dan riadah, RM300 (urusan sosial bersama rakan dan hal peribadi, meraikan hari jadi rakan, tonton wayang, hari kasih sayanglah dan pelbagai aktiviti rehat minda bagi orang-orang muda, kononnya).

* Bayar bil, RM200 (bil api, air, telefon, bil pelbagai).

* Bayar kredit barangan RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barangan elektrik).

* Barangan peribadi, RM200 (top-up kad prabayar, barangan kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan pelbagai barangan kesukaan diri sendiri).

* Hal-hal kecemasan, RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak dan sebagainya).

* Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, simpan sedikit, lama-lama jadi bukit).

Ini tidak termasuk lagi dengan arahan “perintah bayar” daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini saja-saja buat lupa tapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan yang berkaitan dengan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang memaksa diri untuk bayar pinjaman secara minimum RM100, berapa gaji bulanan mereka yang tinggal?

* Pendapatan daripada gaji, RM2,000

* Perbelanjaan daripada gaji, RM2,750

* Baki gaji, RM - 750

Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki daripada gaji bulanan eksekutif tersebut malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu sebanyak RM750. Ini andaian bagi gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup semasa.

Cubalah bayangkan jika eksekutif tersebut mengamalkan gaya hidup mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapalah agaknya kurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak lagi termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang tidak berhenti-henti berdoa agar anak mereka mampu menghantar wang untuk membantu meringgankan perbelanjaan keluarga.

Tapi apa yang nyata, harapan tinggal harapan yang tidak kesampaian. Tambah menyedihkan lagi, anak yang diharapkan membantu keluarga setelah bekerja, malah meminta wang lagi pada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan memang tidak cukup.

Bagi eksekutif muda yang sering tidak cukup wang kerana wang memang tidak akan pernah cukup bagi mereka kerana gaya hidup mereka itu akan mula memikirkan alternatif untuk mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan-rakan kerana malu akan dicop muka subsidi akan menjadikan kad kredit sebagai “abang long” mereka.

Dengan pelbagai promosi yang menonjolkan gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi eksekutif muda masa kini, maka terpesona dan terpanalah eksekutif yang sering putus wang ini untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa mereka sedari atau dengan sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya menjadi hutang melilit pinggang.

Mengapa eksekutif muda ini berhutang? Persoalan ini bukannya susah untuk difahami tetapi tidak mudah untuk dicari penyelesaiannya. Jawapannya terletak kepada lima P:

1. Personaliti - peribadi dan sikap seseorang yang sememangnya suka berhutang kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepada dirinya melihat ibu bapa, adik beradik dan saudara maranya yang memang suka berhutang untuk memenuhi kehendak dan keperluan diri. Ibu dan kakaknya suka berhutang beli perabot, hutang kain, hutang pinggan mangkuk, hutang langsir sehinggalah beli alat solek pun hutang. Jadi budaya berbelanja lebih dari pendapatan yang ada dan berhutang sudah jadi amalan biasa pada dirinya, malah mendapat sokongan padu daripada keluarga.

2. Pengaruh Persekitaran - hidup mereka sentiasa di kelilingi oleh mereka-mereka yang menjadikan hutang itu sebagai gaya hidup malah rakan-rakan sendiri memberi galakan untuk berhutang bagi membeli kereta yang kononnya setaraf dengan kerjaya sebagai eksekutif. Malah ada yang beri nasihat songsang pada rakan dengan mengatakan shopping and spending is a part of happiness, so go for it!. Pengaruh negatif inilah yang menjadikan seseorang itu terus lena dibuai mimpi indah di atas tilam dan sofa yang juga dibeli secara hutang di kedai perabot!

3. Promosi - institusi kewangan dan yang berkaitan dengan kad kredit ini memang menyasarkan golongan muda dan berkerjaya sebagai pelanggan berpotensi dengan membuat promosi besar-besaran dan habis-habisan untuk menarik eksekutif muda ini menggunakan kad kredit. Pelbagai iklan dan mesej yang digunakan untuk memaksa eksekutif ini menggunakan kad kredit. Kehadiran jurujual yang tidak pernah penat senyum dan ketuk pintu pejabat memang menjadikan taktik-taktik promosi ini sebagai strategi untuk menarik golongan muda ini menggunakan kad kredit.

4. Pujian dan Perasan- sebagai eksekutif muda, banyak puji-pujian dan dorongan agar mereka ini terus kelihatan anggun, cantik dan bergaya selaras dengan umur yang masih muda dan kerjaya yang disandang. Kerana terlena dan perasan dengan pujian tersebut, maka berlumba-lumbalah eksekutif muda wanita dan lelaki ini membeli-belah barangan berjenama yang bukan murah harganya, falsafah mereka biar papa asal bergaya menjadikan mereka akhirnya papa dan merana kerana muflis. Siapa yang perlu dipersalahkan jika keadaan ini berlaku? Tepuk dada tanyalah selera!

5. Kehabisan - selalu pokai atau tidak cukup duit kerana gaya hidup mewah inilah yang menjadi fokus utama mengapa golongan muda banyak berhutang. Mari kita lihat gaya hidup mewah yang menyebabkan golongan muda ini terperangkap dengan dunia yang mereka cipta sendiri dan bandingkan dengan gaya hidup ala kadar yang boleh membantu mereka berjimat cermat dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Bagi golongan muda khususnya, tidak salah memilih apa juga gaya hidup yang anda kehendaki tapi ukurlah baju di badan sendiri, jalan mana yang hendak anda lalui, jalan menuju kebahagiaan atau kesengsaraan, andalah yang menentukannya. Jika hidup dikelilingi hutang, banyak tekanan secara mental dan fizikal yang perlu anda hadapi. Tekanan fizikal seperti sukar tidur malam, keresahan, gangguan fikiran, panas badan, pening kepala, kekeruhan air muka, kelesuan, kemarahan dan pelbagai simptom fizikal yang akhirnya menjejaskan kreativiti, prestasi dan produktiviti pekerjaan anda sebagai eksekutif yang baru hendak mencipta nama dalam bidang yang anda ceburi. Tekanan mental pula menjurus kepada gangguan jiwa sehingga menjadikan seseorang itu murung, beremosi yang tidak terkawal, sensitif, mengurung diri, takut pada bayang-bayang diri dan akhirnya boleh menjadi gila kerana tekanan jiwa yang dihadapi kesan daripada hutang tersebut. Jadikan diri anda debt free dan hiduplah secara ala kadar mengikut kemampuan diri.

Comments

Popular posts from this blog

Gue dengan S2 gue. Sronok banget!

Vultr - another reliable alternative for SEA Virtual Private Server!

I have been using Vultr  as my recent VPS now, since it has just a nearby Data Center in Singapore (sadly, Malaysian VPS is always expensive.. so the best option is DC in Singapore - most of the time). It provides free trial credit for around USD5.. and +USD2 if you did a social media integration/sharing with Twitter. Try it now. Click Vultr